PENGERTIAN
TAMADUN
Perkataan tamadun berasal dari perkataan Arab.
Bagaimanapun perkataan ini tidak asing lagi pada masa ini. Perkataan yang sama
erti dengan tamadun ialah peradaban atau dalam bahasa Inggeris ialah
Civilisation . Walaupun semua istilah di atas adalah berbeza tetapi secara
umumnya bererti maju atau mencapai kemajuan.
Para Sarjana ilmu ketamadunan mengemukakan pengertian tamadun kepada empat
aspek iaitu:-
1. Aspek pertama tamadun adalah suatu tingkat pencapaian atau kemajuan hidup
manusia dari cara hidup nomad kepada kehidupan hidupan kota atau Bandar.
2. Aspek Kedua tamadun dianggap sebagai proses untuk mencapai kemajuan atau
kebaikan di dalam kehidupan.
3. Aspek ketiga, tamadun diberikan makna kombinasi kepada kemajuan aspek
pemikiran rohani dan jasmani atau material manusia.
4. Aspek keempat tamadun adalah keadaan kemajuan manusia yang diasaskan kepada
ketinggian akhlak atau budi pekerti, tidak hanya setakat hidup di kota atau di
Bandar atau mencapai kemajuan material.
LATARBELAKANG
TAMADUN CINA
Tamadun Cina dipercayai bermula kira-kira pada
milenium ke-6 Sebelum Masihi (SM) dan merupakan salah satu tamadun yang tertua
di muka bumi selain daripada Tamadun Mesir (Lembah Sungai Nil), Mesopotamia
atau Sumeria (Lembah Sungai Tigris dan Sungai Euphrates), India (Lembah Sungai
Indus) dan Tamadun Yunani (Eropah). Sifat keterbukaannya dalam berinteraksi
dengan tamadun-tamadun lain, integratif dan dinamik menyebabkanya menjadi lebih
mampan walaupun pernah dicabar oleh tamadun-tamadun lain. Walaupun mengalami
perubahan-perubahan dalam proses perkembangan yang panjang, namun identitinya
dikekalkan sebagai satu tamadun berkesinambungan dan kekal pada keseluruhannya.
Walaubagaimanapun, berdasarkan bukti-bukti penemuan
arkeologi antara kebudayaan-kebudayaan Neolitik ( Zaman batu baru) di Yangshoa
di provinsi Shaanxi menunjukkan, Kebudayaan Yangshao telah wujud pada milenium
ke-5. Tapak tradisi kebudayaan Yangshoa ini dijumpai di teres-teres berhampiran
cawangan-cawangan Sungai Wei dan Huanghe (The Yellow River), kerana kawasan ini
mempunyai tanah yang subur, lembap dan mudah untuk dikerjakan sebagai kawasan
pertanain dan penempatan. Kegiatan awal bangsa Yangshoa ialah pertanian,
penternakan babi dan mengukir tembikar (painted pottery). Adalah dipercayai,
bijirin (milet) adalah makanan asasi atau rugi bangsa Yangshoa. Perkembangan
peradaban bangsa Yangshoa di bahagian tengah dan utara negara Cina menelan masa
kira-kira 6 milenium iaitu lebih kurang 5000 tahun sebelum diambilalih oleh
kebudayaan Longshan.
Kebudayaan Longshan bermula sejak pertengahan kurun
ke-2 dan zaman Gangsa Awal (Bronze Age) lewat milenium ke-2 atau milenium
pertama. Pertemuan arkeologi menunjukkan peradaban ini terletak di Lembah
Sungai Yangzi di provinsi Jiangxi dan juga di Sanxingdui,di provinsi Suchuan.
Peradaban ini lebih maju berbanding ketamadunan Yangshoa,di mana tembikar yang
dijumpai menunjukkan berkualiti, kerana dipercayai menggunakan mesin peroda
tembikar (potter’s wheel) dalam pengeluarannya.
Dalam tahun 1766SM – 1122SM, gangsa dinilai sebagai
simbol elit oleh Dinasti Shang dan tukang-tukang gangsa dihormati sebagai ahli
masyarakat yang penting semasa pemerintahannya. Zaman Dinasti Shang
memperlihatkan perkembangan tamadun yang lebih komplek dengan pembentukan
negara-kota, penggunaan sistem tulisan, peningkatan pengkhususan pekerjaan dan
wujudnya sistem masyarakat yang berlapis. Peradaban Shang berpusat di bahagian
utara He’nan di mana dua tapak arkeologi di Zhengzhou dan Anyang menunjukkan
sejarah ketamadunan Dinasti Shang.
FAKTOR-FAKTOR
YANG MEMPENGARUHI TAMADUN CINA
1. Alam Sekitar
Tempoh Neolitik di negara Cina mempunyai kedudukan yang unggul dalam sejarah
perkembangan peradaban China. Peradaban Yangshoa yang menjadikan bijirin
(milet) sebagai makanan asasi telah menggalakan perkembangan dalam kegiatan
pertanian. Tapak peradaban Yangshoa yang terletak di kawasan di mana tanah
pasirnya telah dimendapkan oleh angin selama berkurun-kurun lamanya menjadikan
kawasan ini subur dan sesuai untuk kegiatan pertanian. Penemuan benih padi di
Lembah Yangzi, di Selatan Teluk Hangzhou, provinsi Zhejiang menunjukkan
penanaman padi telah dilakukan secara meluas. Geografi Negara China yang luas, menyebabkan keadaan
cuaca yang berbeza dan ini telah mempertembungkan dua kebudayaan iaitu
Kebudayaan Milet (Bijirin) dan kebudayaan Sawah Padi, yang wujud secara
berasingan di bahagian Utara dan Selatan China. Pada asasnya, bahagian timur China menghadap lautan,
bahagain barat-laut direntangi oleh gurun yang luas dan bahagian barat-daya
adalah dataran tinggi Qinghai-Tibet, dataran yang terluas di dunia dengan
ketinggian 4000-5000 meter secara purata. Keadaan ini menyebabkan kebanyakan
sungai mengalir ke arah kawasan Selatan atau Timur dan seterusnya menggalakkan
pergerakkan penduduk, terutamnya para petani untuk menetap di bahagian Selatan
China. Hasil dari pola pergerakkan ini, perkembangan kebudayaan juga turut
beralih ke Selatan China.
2. Bahasa dan sistem tulisan cina
Bahasa cina telah digunakan dengan meluas di zaman silam dan ia masih digunakan
sekarang berbanding dengan bahas-bahasa kuno lain. Ini adalah kerana, walaupun
mempunyai pelbagai sebutan dialek, tetapi hanya satu tulisan bercirikan
karektar digunapakai oleh semua rakyat cina. Ini merupakan faktor penting dalam
menyatupadukan rakyat cina dan perkembangan tamadunnya. Karektar yang digunapakai dalam tulisan cina biasanya
berdasarkan kepada lambang bergambar (xiang xing) dan dikenali sabagai Hanzi
(tulisan Han), lambang petunjuk (zhishi), lambang petunjuk fikiran (huiyi), dan
gabungan bentuk bunyi (xing sheng), bersamaan dua kaedah yang berfungsi
memperluaskan erti atau penggunaan sesuatu huruf cina, iaitu ‘mutual semantik
transfer’ (zhuanzhu) dan ‘loan character’ (jiajie). Keedah-kaedah tersebut
digolongkan sebagai ‘six principles of writing’ (liushu).
Perkembangan tulisan cina telah mempengaruhi
bangsa-bangsa lain terutamanya si Asia Timur seperti Jepun, Korea dan juga
Vietman, yang telah mengadaptasi karekter tulisan cina ke dalam bahasa mereka,
walaupun mereka mempunyai bahasa sendiri.
China merupakan satu negara yang luas dan besar. Penduduknya terdiri daripada
pelbagai bangsa yang pada zaman Neolitik dan zaman batu menduduki tiga kawasan
utama, iaitu Utara, Tengah dan Selatan. Menurut para sarjana Cina, terdapat tiga kumpulan bangsa yang terbesar iaitu
kumpulan Yan-Huang yang diwakili oleh kaum Yang Di dan Huang, kumpulan
Feng-Yang dan kumpulan Miao-Man yang terdiri dari suku kuam bagsa di Selatan
China. Proses peredaran zaman yang panjang telah membentuk
kerjasama antara bangsa tersebut. Peperangan, berinteraksi, berkahwin campur
dan tiru-meniru budaya dikalangan bangsa ini telah mewujudkan satu bangsa yang
kuat yang dikenali sebagai bangsa Tionghoa (Zhonghua minzu).
4. Pandangan semesta dan kepercayaan
Pandangan animisme merupakan pegangan dan kepercayaan penduduk primitif cina di
mana pemujaan binatang, tanaman, matahari, bintang, sungai serta kuasa-kuasa
lain yang dipercayai wujud pada zaman neolitik dengan bangsa Yangshao dan
Longshan lagi. Selain daripada kepercayaan animisme ini, konsep Tian iaitu
langit sebagai makluk unggul (supreme being) yang menguasai nasib seseorang
telah wujud sejak zaman dinasti Zhou (kk 1123 SM-221SM). Tian dalam kontek kepercayaan konfusianisme bermakna
prinsip tertinggi dalam alam semesta. Konfusianisme merupakan doktrin
kenegaraan yang merangkumi aspek falsafah, keagamaan dan sosiopolitik. Asas
utama dalam pengajaran konfusianisme adalah nilai dan sifat moral yang mulia,
terutamanya mengenai perikemanusian (ren), kesusilaan (li) dan ketaatan kepada
ibu-bapa (xiao). Pujangga agung konfusianisme, Mencius (372 SM –289 SM),
berpendapat semasa dilahirkan manusia mempunyai empat sifat yang baik iaitu
perikemanusiaan (ren), kewajaran (yu), kesusilaan (li) dan kearifan (zhi). Dong Zhongshu (179 SM – 104 SM), seorang lagi pujangga
konfusianisma di zaman dinasti Han mencipta satu falsafah Yin-Yang yang
menceritakan bahawa insan merupakan sebahagian daripada Tian. Oleh itu wujud
satu pertalian di antara insan dengan Tian. Kesalahan yang dilakukan oleh
kerajaan duniawi akan menyebabkan kemarahan oleh Tian dengan mencipta keadaan
luar biasa sebagai menifestasi amarannya. Konsep Tian juga wujud dalam kepercayaan Daoisme.
Kitap Daoisme dan Yijing menceritakan bahawa Tian adalah segala-galanya.
Kelahiran sesuatu hayat juga dipercayai akan berakhir dan kembali kepada akhir
hayat mereka iaitu Dao.
5. Sistem politik dan pemerintahan
Perkembangan pesat pemikiran politik di China bermula pada zaman pemerintahan
dinasti Qin (221 SM – 209 SM). Antara aliran pemikiran politik yang penting
ialah Konfusianisme, Daoisme, Legalisme dan Moisme. Walaubagaimanapun,
Legalisme bermula sebelum dinasti Qin, di mana teori dan pelaksanaan konsep
Legalisme telah berjaya membawa pembaharuan dalam sistem pemerintahan dengan
menggantikan sistem pemerintahan feudal yang bercirikan pelbagai negeri dan
jajahan (multistate) kepada sistem pentadbiran commendaries dan counties
(junxian zhi) iaitu kerajaan birokratik berpusat (centralized bureaucractic
government). Sistem in telah menyumbangkan kepada pengekalan pentadbiran dan
kestabilan politik di sepanjang sejarah ketamadunan cina.
Pemikiran politik berasaskan Daoisme bertentangan
dengan apa yang diterapkan oleh pemikiran Konfusianisme. Daoisme berpendapat
bahawa pemerintah tidak perlu menguatkuasa sebarang usaha yang keras (wuwei)
dan meneruskan kehidupan secara primitif yang menghormati diri dengan alam
semesta. Manakala pemikiran politik Moisme pula menegaskan penyelarasan peraturan dan
pembentukan kuasa pusat (shangtong) tidak bersesuaian dengan pihak pemerintah.
Ini adalah kerana ajarannya yang menitikberat kepada jimat-cermat (jieyong) dan
pelantikan pegawai kerajaan berdasarkan kepada kelayakan dan kemampuan (xuan
xian yu neng) sukar untuk dilaksanakan.
6. Kemasukan Islam di Cina
Peluasan kawasan Islam itu berlaku ketika di zaman khalifah AL-Walid bin Abdul
Malik. Panglima Islam yang bertanggungjawab menyebarkan Islam ke Timur hingga
ke sempadan negara China adalah Qutaibah bin Muslim. Akibat daripada penguasaan
Islam ke timur dan kekalahan tentera China di sungai Talas maka ini telah
menghalang kerajaan China pada ketika di bawah Dinasti Tang daripada
mengekalkan kuasa di Asia Tengah.
Berikut terdapat beberapa keadaan bagaimana Islam
tersebar ke negara China:
i. Berdasarkan sumber dari China, Maharaja Tang II telah menghantar utusan
kepada Nabi Muhammad SAW untuk menghantar pendakwah ke negara tersebut. Nabi
telah menyambut baik dengan menghantar tiga orang pendakwah. Dua daripada
pendakwah itu meninggal dunia semasa perjalanan yang amat jauh, dan hanya
seorang sahaja yang selamat sampai ke China. Maharaja tersebut telah membina
sebuah masjid untuknya. Bermula dari itu beliau mula menyebarkan Islam di
negeri China. (Jameel Abdullah, present Islamic world, part 2, p.in Saudi
Arabia, page. 495, in Arabic) .
ii. Semasa di zaman Khalifah Al-Rashidin yang ketiga
iaitu Uthman bin Affan, baginda telah menghantar Saad bin Abi Waqqas melawat
negeri China pada tahun 651 M (29Hijrah) untuk menyampaikan dakwah kepada
Maharaja China. Hasil daripada lawatan tersebut, maharaja China telah
mengarahkan pembinaan Masjid yang besar dan indah di Bandar Canton atau kini
dikenali sebagai Guangzhou. (Abdur- Rauf, 1994).
iii. Tentera Islam dibawah Qutaibah bin Muslim
menjalankan penaklukan ke atas Bandar Kashgar ibu kota Turkestan Timur pada
tahun 714 M dan menyeru Maharaja China memeluk Islam. (Turkestan Timur adalah
sebuah negara merdeka sehingga ditakluk oleh kerajaan Manchu tahun 1759. Pada
tahun 1876 ia memberontak dan merdeka dari kerajaan Manchu dan pada tahun 1949
ia di kuasai oleh kerajaan komunis China).
iv. Dalam tahun 757 M. (138 Hijrah) Jeneral Lien Chen
memberontak menentang Maharaja Su Tsung. Atas permintaan Maharaja Khalifah
Abbasiyah iaitu Khalifah Al-Mansor telah mengirimkan 4000 orang tentera yang
terdiri daripada orang Islam berbangsa Turki ke China. Tentera Islam yang
dikirimkan berjaya dalam misi tersebut. Namun begitu tentera tersebut terus
tinggal di negeri China dan berkahwin dengan wanita tempatan. Ini membantu
dalam penyebaran Islam di China. (Abdur-Rauf, 1994).
v. Sesetengah pendakwah ke China melalui laut bersama
pedagang dan menyebarkan Islam di Bandar-bandar seperti Shanghai, Guangzhou,
dan sebagainya (Abdullah, 1994).
vi. Dalam kurun ke 4 Masehi (10Hijrah), Raja Turkestan
Timur memeluk Islam. Ini memudahkan lagi penyebaran Islam di Turkestan Timur
dan China (Muhyiddin Hasan, 1987).
vii. Bila masyarakat berbangsa Uyghur yang tinggal di
Turkestan Timur memeluk Islam, maka mereka mula menyebarkan Islam di Turkestan
Timur dan China.( Abdur-Rauf, 1994).
viii. Bila Maharaja China mula tertarik dengan
kebaikan agama Islam maka beliau telah menjemput beberapa pendakwah Islam
secara rasmi. Pendakwah tersebut dapat menyebarkan Islam dengan bebas dan
selesa. (Jameel Abdullah).
Berikut adalah zaman gemilang Islam di China pada
peringkat awal.
1- Zaman Tang berakhir 907 Masehi
2- Zaman Sung dari 907-1279 Masehi
3- Zaman Yunnan 1280-1368 Masehi
4- Zaman Ming 1368-1644. Masehi
Pada empat zaman ini jumlah penduduk Islam bertambah
dari semasa ke semasa dan maju dari segi pendidikan, politik, ekonomi dan
sosial. (Muhyiddin Hasan, 1987).
SUMBANGAN
TAMADUN CINA
1. Kesusasteraan dan Kesenian
Sejarah kesusasteraan cina bermula seawal kurun ke-14 SM dan diteruskan
perkembnagannya sehingga lebih 300 tahun. Bahasa cina dapat dikekalkan
identitinya walaupun negara China pernah ditalukki oleh orang asing seperti
mongol (dinasti Yuan, 1279 –1368) dan orang Manchu (dinasti Qing, 1644 – 1911).
Ini adalah kerana tulisan cina tidak bersifat fonetik sebaliknya berbentuk
grafik. Sifat yang berbentuk grafik ini telah meninggalkan kesan terhadap
kesusasteraan cina dan penyebarannya.
Terdapat pelbagai gengre sastera cina klasik seperti
puisi, prosa, drama dan juga fiksyen. Antologi puisi cina yang terawal ialah
Shi jing yang mengandungi 305 buah nyanyian kuil, nyanyian istana dan rakyat
yang wujud dalam tempoh antara zaman Zhou Barat (kurun ke 11 SM –771 SM) hingga
zaman Musim Bunga Musim Luruh (770 SM – 476 SM). Antologi ini dikumpul pada
masa konfusius (551 SM – 479 SM) di kawasan Lembah Huanghe. Secara amnya, puisi
cina berhubung rapat dengan muzik dan ia bersifat padat dan singkat. Puisinya
juga lebih naratif atua diskriptif yang mempunyai fungsi sosial dan politik.
Perbezaan prosa dan puisi adalah kurang jelas. Prosa
dikategorikan kepada beberapa jenis iaitu prosa bercampur puisi (poetic prose),
prosa berirama (rhyme prose), rapsody (rhapsody),dan puisi bersifat prosa
(poetry prose). Prosa klasik atau dikenali guwen adalah dominan dalam sastera
klasik cina dan ia mempunyai fungsi sosial dan politik.
Drama cina berkembang agak lewat kerana penaklukan
dinasti Yuan (1279 –1368). Walaubagaimanapun, drama cina dari jenis zaju –
drama berbentuk puisi yang digubah mengikut kesesuaian muzik sangat bersemarak
pada zaman dinasti Yuan. Drama digunakan oleh penulis sebagai saluran untuk
meluahkan ketidakpuasan perasaan dan mengkritik kerajaan pemerintah seperti
drama Dou’er Yuan (ketidakadilan Yuan).
Menjelang lewat kurun ke-18, drama rakyat dari
pelbagai daerah mula berkembang dan dipentaskan kepada umum. Dari sini,
lahirlah opera cina yang menjadi salah satu kegemaran rakyat cina dalam drama.
Drama juga digunakan oleh konfusius untuk menerapkan nilai-nilai moral dan
etika.
Tamadun cina juga tidak ketinggalan dalam mencipta
keseniannya. Muzik klasik, kaligrafi, seni lukis dan seni pembinaan merupakan
kesenian yang terawal dalam tamadun cina. Sistem melodi muzik klasik cina
adalah kompleks di mana alat-alat yang digunakan dikategorikan mengikut bahan
akustik dan cara sesuatu alat itu dimainkan. Muzik bagi tamadun cina adalah
sesuatu yang berharmoni dengan alam semesta dan di letakkan pada satu kedudukan
penting pada fahaman konfusius. Pada abab ke-8, kemasukkan muzik dari tamadun
lain telah memeriahkan lagi suasana muzik di cina terutamanya dengan kemasukkan
tamadun India dan Asia Tengah.
Kaligrafi merupakan salah satu kesenian yang paling
tinggi diberi penghormatan dalam tamadun cina. Kaligrafi ditulis dengan
menggunakan dakwat, berus, kertas dan kadang-kadang sutera. Perkembangan
kaligrafi telah menghasil pelbagai bentuk tulisan cina. Kaligrafi dikatakan
mempunyai hubungan yang rapat dengan seni lukis dan puisi. Su Dongpo (1037 –
1101) pada zaman dinasti Song merupakan seorang pelukis dan juga seorang pakar
kaligrafi. Seni lukisan cina pada dasarnya terbahagi kepada dua kategori iaitu
xieyi (freehand) dan juga gongbi (menggunakan garis halus).
2. Sains dan teknologi
Kajian arkeologi menunjukkan sain dan teknologi Cina
telah wujud pada kurun ke-15 sehingga kurun ke-11 SM. Pada awalnya teknologi
kejuruteraan digunakan dan dikembangkan kerana untuk mengawal banjir Sungai
Kuning. Antara lain-lain teknologi adalah dalam bidang astronomi, perubatan,
optik dan kimia. Di zaman dinasti Zhou dalam kurun ke11 hingga ke 3 SM, orang
cina telah mampu menyediakan maklumat berkaitan dengan bintang dengan
terciptanya peralatan astronomi.
Sampoa digunakan pertama kalinya oleh ahli matematik
cina iaitu Xu Yue dalam kurun ke2 SM. Buku jiuzhang suanshu (sembilan bab
matemetik) yang ditulis oleh Zhang Cang pada kurun ke-2 menunjukkan penemuan
mengenai kuantiti negatif, sistem pecahan dan perpuluhan.
Perkembangan perubatan cina bermula dari sistem
perubatan cina tradisional yang terdiri dari teori kosmik dualistik yin dan
yang, teori lima elemen, dan juga teori jing dan luo. Teori yin dan yang
menyatakan keseimbangan kedua-dua kuasa ini mempengaruhi kesihatan manusia. Teori
lima elemen menganggap bahawa tubuh manusia yang terdiri dari organ luaran dan
dalaman adalah berpadanan dengan lima elemen dalam alam semesta. Teori jing dan
luo merupakan asas kepada rawatan terapeutik seperti moxisbustion (membakar
daun moxa) dan akupuntur. Teori ini berpendapat bahawa, organ dalaman, tangan
dan kaki adalah berkaitan dan dihubungkan oleh saluran dimana darah dan qi
(tenaga dinamik) beredar. Gangguan pada sistem ini akan menyebabkan seseorang
tidak sihat. Buku-buku perubatan cina seperti Huangdi neijing dan Bencao gangmu
dipercayai sebagai pemangkin kepada perkembangan perubatan modem oleh barat.
Terdapat empat ciptaan agung dalam tamadun cina iaitu
teknik membuat kertas, pencetakan, bahan letupan dan kompas. Cai Lun telah
berjaya membuat kertas dengan menggunakan fiber tumbuh-tumbuhan pada tahun 105.
Teknologi pencetakkan telah mula diperkenalkan semasa pemerintahan dinasti Tang
(618 –906) di mana buku jingang jing dipercayai buku yang terawal dicetak iaitu
pada 11 Mei 868. Bahan letupan telah dihasilkan oleh ahli kimia cina pada kurun
ke-7 apabila ahli-ahli kimia Daois berjaya mencampurkan saltpetre dengan sulfur
dn karbon. Pada zaman dinasti Tang, pihak militari telah menggunakannya dalam
peperangan. Pada zaman pemerintahan dinasti Han (206 –220 SM) sifat-sifat
magnet telah ditemui di cina. Penemuan tentang gejala magnet aruhan (induced
magnetism) dalam kurun ke-6, pengherotan (declination) dan juga kekutuban
magnet (polarity) pada kurun ke-8 dan ke-9, telah membuahkan penghasilan kompas
oleh orang cina dan digunakan semasa pelayaran.
RELEVANSI
TAMADUN CINA DENGAN TAMADUN LAIN
1. Pengenalan
Tamadun Cina yang telah lama bertapak mula
berinteraksi dengan tamadun luar apabila orang-orang Cina mula berhijrah ke
tempat luar. Sistem politik yang berwibawa, kuat dan stabil telah menggalakkan
penghijrahan orang Cina ke luar samada untuk melakukan aktiviti ekonomi ataupun
mencari penempatan baru. Penggabungan etnik-etnik cina yang kemudiannya
dikenali sebagai orang Han atau Cina telah membentuk tamadun yang besar dan
berpengaruh. Interaksi tamadun Cina dengan tamadun luar boleh dibahagikan
kepada dua bahagian iaitu interaksi budaya Cina dengan kawasan bulatan budaya
dan juga interaksi budaya Cina dengan kawasan luar lingkaran bulatan budaya.
2. Interaksi dengan kawasan bulatan budaya – Korea,
Jepun dan Vietnam
Pada zaman dinasti Shang (kurun ke-16 hingga ke 11 SM)
orang Cina telah mengenali Korea sebagai satu entiti kawasannya tersendiri.
Orang-orang Cina telah berhijrah ke Korea untuk mengelakkan peperangan dan
seksaan politik. Dipercayai pada kurun ke-2 SM, Wiman, iaitu seorang pelarian
Cina telah memerintah sebuah wilayah Korea iaitu Chosan. Pada tahun 108 SM,
empayar Han berjaya diperluaskan ke kawasan orang-orang Korea termasuk kawasan
yang diperintah oleh Wiman. Semasa pemerintahan Han, orang Korea telah dipaksa
supaya mengamalkan kebudayaan Cina. Proses perkembangan kebudayaan Cina
mencapai kemuncaknya apabila Korea muncul sebagai sebuah negara berfahaman
Konfusianisme semasa pemerintahan dinasti Li (1392 – 1910).
Antara unsur-unsur kebudayaan Cina yang amat
berpengaruh di Korea ialah konfisianisme dan Buddhisme. Pengaruh konfusianisme
dan buddhisme pada Korea sangan kuat sehingga kerajaan Korea menubuhkan
institusi pendidikan untuk mengkaji konfusianisme dan buddhisme disamping
menjadikan fahaman ini sebagai bahan pengajaran. Tidak cukup dengan itu, demi
mengukuhkan lagi fahaman ini, kerajaan menghantar beratus-ratus pelajar ke
China untuk mempelajari konfusianisme dan memahami sistem pentadbiran China.
Oleh itu, setiap perkembangan dan konsep konfusianisme telah diamalkan
sepenuhnya oleh Korea.
Selain daripada kepercayaan, bahasa dan tulisan Cina
juga mempengaruhi Korea. Pada kurun ke-15, pemerintah dinasti Li Korea telah
mencipta sistem tulisan Korea berpandukan kepada grafik tulisan Cina.
Kebanyakan perbendaharaan kata bahasa Korea berasal dari istilah-istilah
tulisan atau bahasa Cina. Pengaruh Cina mula terhakis apabila Jepun menakluki
Korea pada tahun 1910.
Hubungan Cina dengan Jepun bermula seawal kurun ke-2
SM iaitu di zaman dinasti Qin (221-206SM). Perpindahan teknologi telah berlaku
di mana teknologi pertanian, pemeliharaan ulat sutera dan perbuatan perkakas
besi dan gangsa dibawa masuk ke Jepun oleh pedagang Cina. Pengaruh kebudayaan Cina
berkembang denga pesatnya pada zaman Nara hingga zaman Kesyogunan Tokugawa
(664-1867) di mana bahasa, sejarah, falsafah, agama, kesenian, sistem politik
dan sebagainya dipelajari oleh pelajar-pelajar Jepun yang dihantar ke China.
Sistem tulisan Jepun, Kana dicipta berasaskan kepada sistem tulisan Cina iaitu
Kanji. Buku sejarah terawal Jepun iaitu Nihongi ditulis menggunakan bahasa
Cina. Falsafah konfusianisme Cina yang bersendikan Dao begitu terpengaruh dalam
sistem pembelajaran, politik dan tatasusila orang-orang Jepun. Perkembangan
falsafah konfusianisme di jepun boleh dibahagikan kepada tiga fasa iaitu fasa
pertama pada kurun ke-5 hingga kurun ke-12, fasa kedua pada kurun ke-12 hingga
kurun ke-17 dan fasa ketiga bermula pada kurun ke-17 iaitu zaman pemerintahan
Edo atau Kesyogunan Tokugawa (1603-1867).
Vietnam merupakan negara Asia Tenggara yang paling
kuat dipengaruhi oleh kebudayaan Cina. Ini adalah kerana Vietnam merupakan
negara yang terdekat dengan China dan pernah menjadi sebahagian daripada empayar
China untuk jangka masa yang panjang (111-939). Penaklukan ini meniggalkan
kesan yang mendalam kepada pembentukan kebudayaan tempatan. Bahasa, pemikiran,
adat resam dan nilai-nilai kehidupan penduduk Vietnam banyak dipengaruhi oleh
kebudayaan Cina. Bahasa Cina merupakan bahasa yang digunakan dalam pentadbiran,
pendidikan, kesusateraan dan sebagainya sebelum Vietnam ditalukki oleh kuasa
Perancis.
Klasik konfusisnisme yang diasaskan oleh ahli falsafah
Cina merupakan pegangan dan pedoman hidup masyarakat Vietnam. Ajaran konfusius
juga dijadikan panduan dan rujukan bagi golongan pemerintah dalam pengetahuan
politik, ekonomi ddan juga perancangan pendidikan. Selain daripada itu,
terdapat juga aspek-aspek harian lain seperti pakaian, seni binaan dan juga
budaya hidup orang-orang Vietnam seolah-olah mencerminkan kehidupan orang-orang
Cina.
3. Interaksi dengan kawasan luar budaya – Asia
Tenggara, India, Dunia Islam dan Barat
Hubungan tamadun Cina dengan Asia Barat dan Eropah
agak lambat. Ini adalah kerana kedudukan geografi yang agak jauh dan dipisahkan
oleh permukaan bumi yang bergunung ganang serta padang gurun. Negara-negara
Asia Tenggara, yang kedudukannya agak dekat dapat berinteraksi dengan
kebudayaan Cina seawal zaman pemerintahan dinasti Han (206-220TM). Kerajaan
Dinasti Han telah menghantar utusan ke Funan (Kampuchea) dan negara-negara Asia
Tenggara lain dalam usaha mencari jalan untuk menembusi Tamadun Rom dan Parsi.
Penghijrahan orang Cina ke Negara-negara Asia Tenggara
secara tidak langsung juga menyumbang kepada interaksi antara budaya. Dalam
kurun ke-19, kemasukkan beramai-ramai orang Cina dan India oleh penjajah Barat
dalam usaha mereka untuk memenuhi permintaan tenaga buruh telah mewujudkan satu
kolompok masyarakat Cina dan India di Negara-negara Asia Tenggara. Budaya dan
pegangan kehidupan pendatang ini telah mempengaruhi kehidupan penduduk
tempatan.
Hubungan Malaysia dengan China dipercayai telah
bermula sebelum kegemilangan kerajaan Parameswara Melaka, tetapi hubungan ini
bertambah baik apabila Laksaman Ho Chi Ming, yang di hantar Maharaja China
untuk berdagang dengan kerajaan Melaka diterima baik oleh sultan Melaka.
Asalnya hubungan perdagangan ini telah bertukar kepada hubungan perkahwinan
apabila Puteri Hang Li Po berkahwin dengan Sulatan Melaka.
Tamadun Cina dan tamadun India dikatakan bertembung di
Asia Tenggara. Kedua-dua tamadun ini mempunyai keagungan masing-masing.
Interaksi antara dua tamadun ini, telah membuka lembaran baru dalam konsep
kepercayaan buddha. Ajaran buddha yang konsepnya hampir menyerupai konsep
Daoisme senang diterima masyarakat Cina, sehinggakan dalam tempoh yang singkat,
orang-orang Cina telah berjaya menyusun doktrin buddha dalam satu koleksi yang
dinamakan Tripikata yang terdiri dari kandungan kitab Mahayana dan Hinayana.
Perpindahan dua hala kebudayaan China dan India ini terus berlaku bukan sahaja
dalam kontek pegangan kehidupan tetapi kepada hampir keseluruhan corak
kehidupan kedua-dua tamadun ini. Perpindahan teknologi telah berlaku di mana
teknologi pembuatan kertas dari China telah dibawa masuk ke India dan teknologi
membuat gula dari India telah dibawa masuk ke China.
Walaupun interaksi dengan tamadun Barat agak lewat,
pertembungan dua tamadun ini banyak memberi kesan positif kepada kecemerlangan
tamadun dunia hari ini. Tamadun Barat yang terkenal dengan kemajuan sains,
telah menggunakan kesempatan ini sepenuhnya apabila mengkaji secara lebih
mendalam empat penemuan agung tamadun Cina. Tamadun Cina yang mengutamakan
etika dalam pengurusan masyarakat dan negara dianggap oleh para intelektual
cina sebagai penghalang kepada kemajuan sains dan teknologi. Pertembungan
tamadun ini telah menyedarkan para intelektual cina supaya melancarkan satu
revolusi yang dikenali sebagai Gerakan Kebudayaan Baru dalam usaha untuk
memajukan negara China.
PENUTUP
Tamadun Cina merupakan satu tamadun yang kuat
pengaruhnya. Perkembangan tamadun Cina sehingga ke dunia Barat menunjukkan
tamadun cina berupaya bersaing dengan tamadun-tamadun lain. Tamadun Cina telah
memberi pandangan baru kepada tamadun lain. Pegangan konfusianisme telah
memberi idea kepada sesebuah negara agar beretika dalam penubuhan sesebuah
kerajaan. Konsep konfusianisme yang mementingkan humanisme, humanitaarianisme,
intelektualisme dan rasionalisme adalah bersesuaian untuk diamalkan dalam
kehidupan harian manusia.
Kebolehan tamadun Cina dalam teknologi dengan menyumbangkan empat ciptaan agung
kepada dunia menunjukkan tamadun Cina telah awal lebih maju berbanding dengan
tamadun lain. Walaupun pada zaman pemerintahan Yong Zheng (1723-1735), dasar
isolation telah diperkenalkan, ini tidak memundurkan masyarakat cina. Namun
sedikit sebanyak memberi impak kepada kemajuan secara global. Kebangkitan para
intelektual Cina setelah China kalah beberapa kali dalam peperangan telah
memberi kesan positif kepada pembangunan China.
Revolusi Gerakan Kebudayaan Baru yang dilancarkan oleh para intelektual Cina
telah menyedarkan kerajaan China bahawa pembaharuan perlu dilakukan untuk
memajukan tamadunnya sendiri. Pegangan kosnfusianisme semakin terhakis apabila
ramai rakyat China diberi pendidikan sekularisme Barat.